Sabtu, 2 Julai 2011

MANA BAIKNYA PERHIMUPANAN HARAM...YANG WAR-WARKAN..

Kemakmuran dan keharmonian rakyat Malaysia adalah satu anugerah yang tidak ternilai harganya dan sentiasa diimpikan oleh negara – negara lain. Pun begitu , pada masa yang sama wujud pula pihak – pihak yang iri hati dan mempunyai dendam kesumat dan mahu merosakkan anugerah dan nikmat tersebut dengan sekelip mata untuk menjayakan agenda politik yang sempit. Antara tindakan tersebut adalah dengan mengalakkan rakyat bangkit dengan menyertai Perhimpunan Haram BERSIH pada 9 Julai ini, yang kononnya untuk menuntut satu pilihanraya yang  bersih serta bersandarkan undang - undang. Apa yang dikesalkan, sebahagian besar yang bakal menyertai perhimpunan haram itu adalah Orang Melayu dan Islam, dan sudah tentu ia akan mengundang perpecahan dan pertelingkahan sesama bangsa dan agama.

Islam sesuai dengan namanya adalah agama yang aman dan sejahtera, tidak mencetuskan ketegangan, pergaduhan apa lagi sehingga boleh mengugat kestabilan negara. Malah, kitab – kitab Fiqh Al – Siasah menjelaskan, mewujudkan suasana yang tidak stabil dalam sebuah negara yang aman dan damai adalah haram hukumnya.Sengaja mewujudkan suasana porak – peranda seterusnya mengundang mudarat kepada orang awam juga adalah haram. Pihak yang terbabit dengan penganjuran perhimpunan haram ini tidak memikirkan risiko besar seperti ketenteraman awam dan mereka bercakap bahawa ia sekadar perhimpunan, memang mudah di ungkapkan di bibir.

Namun, apakah jaminan di sebalik ramainya yang berhimpun berdemonstrasi di jalanan itu tidak ada yang mencetuskan provokasi melampau dan boleh mengakibatkan pergaduhan besar.Sejarah telah membuktikan bahawa, perhimpunan haram ini sedikit sebanyak berlakunya perbuatan merosakkan harta benda awam,dan ini tidak termasuk merosakkan kenderaan polis. Orang awam terperangkap dalam kesesakan lalu lintas selama berjam – jam lamanya dan sebilangan peniaga yang mencari rezeki akan hilang sumber pendapatan akibat daripada beberapa batang jalan yang terpaksa ditutup.

Jangan biarkan sifat marah menguasai diri kita, kerana sifat yang demikian adalah sifat Syaitan dan ia akan membuat seseorang itu akan hilang pertimbangan akal yang waras. Jangan benarkan kita diperalatkan oleh pihak tertentu bagi mencapai matlamat mereka untuk menghancurkan keamanan dan kestabilan Malaysia yang di bina hampir 54 tahun yang lalu dengan berpaksikan acuan perpaduan kaum dan etnik budaya yang menjadi kerukunan hidup yang luhur. Dalam hal ini, kita berpegang dan bersandarkan kepada Fiqh iaitu menolak kerosakan lebih di utamakan daripada mengambil manfaat. Jika benar pun dakwaan perhimpunan Bersih itu adalah aman, tetapi kebarangkalian berlakunya Al – Fasad ( Kerosakan ) adalah tinggi.

Peluang inilah yang ditunggu – tunggu oleh media asing, lebih – lebih lagi apabila anggota polis bertindak menahan dan memberkas mereka yang terlibat dengan menjelaskan kepada dunia bahawa Malaysia tidak mengamalkan demokrasi dan kebebasan bersuara kepada rakyatnya yang ingin menzahirkan sesuatu yang ketidakpuasan dalam diri mereka.Agensi berita asing akan memanipulasi keadaan dan memaparkan seolah – olah Malaysia sedang berantakan. Bagi mereka yang berhujah mengadakan perhimpunan itu sebagai hak, cuba fikirkan pula hak majoriti rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dan keharmonian.

Adakah wajar hak minoriti ditunaikan, dengan mengenepikan hak majoriti rakyat yang tersekat kebebasan mereka untuk ke sana ke sini natijahnya perhimpunan haram itu pastinya menyebabkan kesesakan lalu lintas selain banyak jalan yang terpaksa di tutup. Kerajaan tidak pernah menutup pintu rundingan. Lalu, mengapa memilih mengadakan perhimpunan haram sedangakan ia boleh membawa perpecahan umat Islam. Malaysia yang mengamalkan Sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan yang mempunyai sistem pilihanraya. Jika tidak berpuas hati, gunakan medium sedia ada untuk memilih Kerajaan, bukannya menganjurkan perhimpunan haram.Ingatlah Firman Allah dalam Surah Al – Anfaal ayat 46 yang bermaksud: Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasulnya, dan janganlah kamu berbantah – bantahan yang menyebabkan kamu menjadi gentar dan hilang kekuatanmu dan bersabarlah sesungguhnya Allah beserta dengan orang – orang yang sabar. Meruntuhkan keharmonian dan perpaduan negara memang mudah berbanding untuk membinanya. Justeru, jangan sudah terhantuk, baru hendak terngadah.