Rabu, 30 Disember 2009

RENUNGKANLAH....KEGAGALAN PERPADUAN ORANG MELAYU


Cuit - ZAINI HASSAN
zaini.hassan@utusan.com.my

LIM Kit Siang dan anaknya, Lim Guan Eng gembira, Anwar Ibrahim puas manakala Hadi Awang kelihatan serius di mesyuarat membincangkan kedudukan pelan gagasan kerajaan perpaduan di bangunan Parlimen, Kuala Lumpur kelmarin. Idea Hadi itu ditolak.

SYABAS Pas kerana menolak gagasan perpaduan Melayu. Syabas Pas kerana bersekongkol dengan rakan-rakannya - yang asyik mengungkit mengenai isu biasiswa kepada anak-anak bumiputera miskin, isu untuk mengenyah DEB, isu-isu terlalu sensitif yang jika disebut di sini 'orang-orang tertentu' akan mengecap kita ini sebagai rasis.

Cita-cita Pas ialah mahu memerintah Malaysia dengan rakan-rakannya itu. Mungkin Nik Abdul Aziz Nik Mat terlalu mengidamkan menjadi Perdana Menteri. Jika diizinkan tuhan cita-citanya akan tercapai. Tolong, janganlah sesiapa mengatakan dia tok guru yang hanya mengajar agama - sebenarnya beliau ialah ahli politik totok yang dalam istilah Inggeris disebut political animal.

Beliau tidak percaya kepada pengertian kebangsaan - atau dalam konteks gagasan perpaduan, Melayu. Melayu bagi beliau ialah elemen assabiyah yang menurutnya tidak sehaluan dengan ajaran Islam. Teras beliau ialah Islam semata-mata. Bagi beliau Melayu itu tidak wujud.

Itulah antara kegagalan gagasan tersebut. Awal-awal lagi Nik Aziz menolaknya, walaupun kumpulan lain dalam Pas mahu rundingan itu dimulakan. Presiden Pas, Hadi Awang yang mencetuskan idea itu. Ia disambut oleh kumpulan bukan-Erdogan, terutama Timbalan Presiden, Nasharudin Mat Isa. Sambutan Nasharudin itu mengakibatkan beliau 'menghilangkan diri' beberapa hari kerana dimarahi teruk oleh Mursyidul Amnya, Nik Aziz.

Nik Aziz meminta Nasharudin meletakkan jawatan dan masuk UMNO. Nik Aziz terlalu emosional kerana ada pihak yang cuba menghalang cita-citanya untuk menjadi Perdana Menteri.

Anwar Ibrahim yang bimbang melihat berlaku krisis keyakinan yang merugikannya dalam pakatan itu pergi menghadap Nik Aziz di Kota Bharu sebelah pagi Ahad - beberapa jam sebelum Hadi pulang dari luar negara malam itu.

Ternyata dalam pertemuan itu Anwar berjaya mempengaruhi Nik Aziz, atau mereka berdua merancang untuk 'menyelesaikan' kemelut ini - tanpa pengetahuan pencetus idea, Hadi.

Hadi yang ditemui pemberita di lapangan terbang KLIA berkata, Pas akan mengadakan perbincangan mengenai gagasan itu keesokan harinya.

Keesokan harinya (Isnin lalu) pakatan pembangkang yang dihadiri Anwar, Lim Kit Siang, anaknya Lim Guan Eng tersenyum puas. Hadi yang turut berada di dalam mesyuarat sejam pakatan itu di bangunan Parlimen terpaksa 'malu alah' dan bersetuju mengeluarkan satu kenyataan sebulat suara menolak gagasan itu. Kenyataan tiga perenggan itu ditandatangani oleh Anwar, Hadi dan Kit Siang.

Nasharudin tidak hadir dalam pertemuan itu.

Malamnya sebelum pertemuan itu, Nik Aziz di Kuala Krai menyerang UMNO. Beliau menyifatkan UMNO sebagai parti sesat seperti ajaran Ayah Pin. Parti yang membawa negara ini sehingga ke tahap ini - berbanding Pakistan, Bangladesh, Afghanistan dan negara-negara Islam lain - dicercanya sebegitu rupa.

Itulah Nik Aziz, ahli politik totok yang kita kenali lama dulu. Seorang yang kononnya berperwatakan lembut, tapi keras berpolitiknya. Dia menyamakan UMNO seperti Ayah Pin. Dia juga menyamakan UMNO seperti pengganas komunis.

"UMNO ialah pertubuhan sesat, sama dengan Ayah Pin. UMNO dan komunis adalah sama. UMNO ialah parti sosialis kerana menolak Islam. UMNO ialah parti Melayu bukan parti Islam," kata Menteri Besar Kelantan itu di satu ceramah di Kampung Laloh di Kuala Krai malam Ahad lalu.

"Bagaimana kita mahu bersetuju dengan UMNO? Mereka sekarang mahu minta kita lupa yang lepas dan bersatu dengan mereka. Mereka ini tidak tahu malu," katanya di hadapan rakan-rakan pakatannya Anwar dan Timbalan Pengerusi DAP, Tan Seng Giaw.

Awal hari itu (sebagaimana yang dilaporkan akhbar) Nik Aziz sudah mulai berlembut. Tapi beberapa jam kemudian di ceramah di Kuala Krai itu beliau buat pusingan-U di hadapan 5,000 penyokongnya dengan menghentam UMNO dalam kempen menjelang pilihan raya kecil Manek Urai 14 Julai ini.

Itulah Nik Aziz yang kita kenali. Beliau boleh membuat pusingan-U yang tajam. Itu pasal kita kata beliau bukan tok guru ajar mengaji, tapi ahli politik totok yang berjuang atas nama prinsipnya yang kental.

Berkata di hadapan pengikutnya yang fanatik itu, Nik Aziz menganggap UMNO tidak layak memerintah negara ini. Semasa mengucapkannya, beliau langsung tidak sedar UMNO sudahpun memerintah negara ini selama 52 tahun dengan jayanya. Pas tidak pernah.

Tambah beliau, umat Islam wajib menolak UMNO jika mereka takutkan Allah.

Benar Pas sudah memerintah beberapa negeri di negara ini. Di Kedah dan Kelantan mungkin tiada masalah kerana ramai rakyatnya 'Melayu', tapi corak pemerintahan Pas di Perak yang terikat kepada master DAP telah menunjukkan hitam putih corak pemerintahannya.

Belumpun panas duduk di kerusi Menteri Besar Perak, Mohammad Nizar Jamaluddin sudahpun meluluskan hak milik tanah di kampung baru untuk selama 999 tahun (atau dibulatkan 1,000 tahun). Orang Perak sendiri terkejut, teruja dengan tindakan Pas Perak itu. Kita yakin corak inilah yang akan diterapkan apabila mereka memerintah Malaysia kelak.

Kini Nik Aziz merasakan Pas dan pakatan pembangkangnya yang layak memerintah negara ini. Jika tidak layak pun jangan bimbang, mereka akan dipimpin (ditunjuk ajar) oleh sebuah negara jiran yang yakin Malaysia kini sudah pun berada di persimpangan jalan. Negara itulah yang kini melatih Pulau Pinang dengan menghantar beberapa penasihat ke negeri itu.

Nik Aziz merasakan pakatannya sudah kuat. Memang benar mereka sudah kuat. Mereka kuat apabila orang Melayu lemah. Memang benarpun orang Melayu kini sudah terlalu lemah. Gagasan perpaduan bagi Nik Aziz tidak boleh dilaksanakan sama sekali - sama seperti kata-kata Karpal Singh "langkah mayatnya dulu" jika Malaysia mahu menjadi negara Islam.

Memetik kata-kata Bisik-Bisik Awang Selamat kelmarin "… sekiranya gagasan ini berjaya, ia akan menjadi satu pelan politik yang terhebat dalam sejarah tanah air."

"… tapi untuk merealisasinya bukan mudah. Pakatan pembangkang seboleh mungkin tidak mahu melihat rancangan itu berjaya."

Kenapa mereka tidak mahu melihat ia berjaya? Kerana jika gagasan ini berjaya, pakatan itu akan hancur lebur. Dan orang Melayu akan kembali kuat.

Apa pun tahniah dan syabas sekali lagi kepada Anwar dan Kit Siang serta tentunya tok guru Nik Aziz kerana berjaya menggagalkan gagasan itu.

DAN yang TERBARU pula.......

KENYATAAN terbaru Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Ijtimak Ulama Muda Negeri Kelantan 2009 telah mengejutkan pelbagai pihak terutama sekali orang Melayu.

Nik Aziz menyatakan kesediaan Kerajaan Pas Kelantan untuk meminda atau menggubal undang-undang bagi membolehkan orang bukan Melayu memegang tampuk pemerintahan Kelantan sebagai Menteri Besar amatlah mendukacitakan dan mengguris perasaan orang Melayu khasnya Melayu Kelantan.

Kenyataan Nik Aziz bahawa Islam tidak memandang bangsa dalam memilih kepimpinan tetapi melihat kepada kelayakan dan akhlak seseorang itu memang bertepatan dengan kehendak Islam. Pun begitu, sebagai sebuah negeri yang berdaulat dan mempunyai Sultan yang berketurunan Melayu Islam, adalah lebih baik dikekalkan sahaja peruntukan sedia ada yang terbukti telah berjaya mengekalkan keharmonian dan perpaduan kaum di Kelantan.

Persoalan kini, kenapa Nik Aziz sanggup mengeluarkan kenyataan yang boleh dijadikan polemik politik oleh kaum- kaum lain di Malaysia. Adakah kerana Pas sanggup bersekongkol dengan PKR dan DAP dalam apa yang dinamakan sebagai Pakatan Rakyat, maka tindakan ini perlu dilaksanakan.

Tidak adakah lagi orang Melayu Kelantan yang berkelayakan dan berakhlak tinggi untuk dilantik sebagai MB Kelantan sekiranya Nik Aziz ingin melepaskan jawatan tersebut.

Apakah kejutan terbaru Nik Aziz ini mendapat restu daripada pucuk kepimpinan Pas atau mendapat mandat sokongan daripada keseluruhan ahli Pas di Malaysia. Rakyat Kelantan khasnya dan orang Melayu umumnya pasti akan tertunggu-tunggu kenyataan daripada pimpinan Pas Pusat mengenai kenyataan terbaru Nik Aziz ini.

Sekiranya "lampu hijau" telah diberi, maka kalau ditakdirkan Pas memerintah Malaysia, tidak mustahil orang Melayu akan melihat mungkin ramai lagi MB di negeri-negeri lain di Malaysia bukan berketurunan Melayu. Sesiapa sahaja boleh dilantik asalkan berkelayakan dan mempunyai akhlak yang baik pada pandangan Pas.

Apakah ini satu strategi politik yang bijak daripada untuk mengalihkan tanggapan umum kepada situasi panas yang berlaku di Kelantan, antaranya kes yang melibatkan menantu beliau sehingga membawa kepada perletakan jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Menteri Besar Kelantan.

Presiden Anak-anak Kelantan Darulnaim (Pakatan), Datuk Dr. Noordin Ab. Razak turut membantah sekeras-kerasnya dan menyifatkan cadangan itu sebagai tidak masuk akal memandangkan majoriti penduduk Kelantan berketurunan Melayu.

Mengikut Bancian Tahun 2000 menunjukkan kaum Melayu seramai 95 peratus, Cina 3.8 peratus, India 0.3 peratus dan kaum-kaum lain 0.9 peratus. Berdasarkan peratusan tersebut 95 peratus penduduk beragama Islam, 4.4 peratus beragama Buddha, 0.2 peratus beragama Kristian, 0.2 peratus beragama Hindu dan 0.25 untuk agama-agama lain.

Kenyataan MB Kelantan ini merugikan orang Melayu sendiri. Tentu kita masih ingat, siapakah pemimpinMelayu yang tidak bersetuju dengan cadangan Kerajaan Perpaduan antara UMNO-Pas? Janganlah kerana kepentingan politik, kita sanggup menggadaikan maruah bangsa sendiri. Seharusnya pemimpin-pemimpin Melayu Islam menjadi pelindung kepada bangsa dan agama.

cctv : Wahai Bangsaku....sedarlah...sedarlah....jangan dok tiduq lagi....


Tiada ulasan:

Catat Ulasan